Sunday, August 10, 2014

Makan...

Hari ini hari Ahad di Johor hari bekerja. Jadi saya juga di pejabat. Hari pertama bekerja selepas cuti Hari Raya Aidilfitri. Ya benar...saya bercuti lebih lama tahun ini. 

Awal pagi di pejabat sempat memaksa sahabat saya Khairul Azry Ahmad menemani untuk sarapan pagi, dan juga mengemaskini berita terkini. Padahal beliau nak berangkat ke Kuantan. Merayau puas-puas ya malam ni di Putra Square depan East Coast Mall.

Dalam kelekaan di pejabat, saya tidak makan tengahari. Sarapan cuma nasi lemak dan kopi O. Jadi membawa ke jam hampir 3 petang mula terasa lapar dan ingin mencari makanan. Rotilah yang paling mudah di kedai belakang pejabat. Sambil mencari makan terkenang zaman belajar. Teringat betapa "ramping"nya saya semasa belajar dahulu.

Di zaman tinggal di kampus, corak pemakanan saya tak seperti sekarang. Sangat menjadi kebiasaan sarapan dan makan tengahari adalah gabungan. Biasa dipanggil "brunch". Petang-petang makan goreng pisang (ke pisang goreng?) atau yang setaraf untuk alas perut. Malam biasanya ringkas saja dengan roti. Kalau lebih sedikit rezekinya nasi goreng atau setaraf.

1...2...3...waktu makan yang ringkas. Makan kami mewah sedikit kalau bertugas dalam kelab foto. Cuma semasa bertugas jadual makan masih kucar-kacir sampai ke tengah malam.

Bila mula bekerja, pola pemakanan lebih teratur. Sarapan pagi lebih tertib. Makan tengahari lebih lengkap. Waktu petang ada pula snek dan minum petang. Makan malam lebih tenang. Kalau bersama kawan, ada pula makan lewat malam.

1...2...3...4...5...waktu menikmati rezeki.

Berat badan bertambah sedikit. Nampak lebih sihat.

Bila bekerja di sektor awam, setiap kali mesyuarat atau acara akan ada makanan disediakan. Selain jadual makan sendiri yang itu, ditambah pula dengan sesi makan yang ini. Menu pula selalu menarik tak dapat ditolak.

Bertambahlah lagi berat badan, menjadikan yang sihat bertambah sihat.

Rezeki Allah beri. Nikmat yang mana yang kita nafikan? Adakah kita bersyukur? Wallahu'alam...

No comments: