Thursday, December 26, 2013

Bukan Cerita PMR

Ini bukan cerita keputusan PMR atau ekonomi Malaysia..

Ramai yang ambil peluang cuti 25 Disember untuk melangsungkan perkahwinan. Senang untuk memperingati tarikh istimewa sebegini. Ini juga tarikh yang diingati dalam keluarga kami.

Hari ini 26 Disember 2013.. Dah 17 tahun arwah Tokwan pergi meninggalkan kami (26 Disember 1996). Aku ingat tarikh ini sebab 25 Disember 1996 adalah majlis perkahwinan sepupuku anak Pak Ngah di kampung. Tokwan juga ada bersama dalam kesibukan majlis. Tiada tanda-tanda langsung beliau akan pergi esoknya. Aku cuma ada seorang Tokwan (sebelah Mak). Tokwan sebelah Abah tak sempat dikenali.

Hari majlis kenduri kahwin seperti biasa, saudara-mara semua berkumpul membantu apa yang boleh. Tokwan selaku mandur memastikan semua berjalan lancar. Selesai majlis di rumah pengantin, kami berehat di rumah Tokwan dan Tok yang tak jauh di dalam kampung yang sama.

Ramai yang dapat berkumpul pada hari itu. Bapa-bapa saudara berbual dengan Tokwan di meja makan. Kami anak-anak kalau tak menonton televisyen tentu tengah main bersama-sama atau bersembang. Tokwan membuat teguran kepada perokok-perokok tegar dalam keluarga;

"Hangpa bila nak berhenti hisap rokok. Aku dah berhenti berapa hari dah pun."

Kemudian Tokwan mula mengira bilangan anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicitnya. Ramai kami ni, aku pun tak ingat berapa jumlah setiap generasi. Tokwan pesan pada semua, jaga keluarga elok-elok. Jangan berpecah-belah, jangan bertelagah.

Malamnya kami pulang ke rumah masing-masing. Rata-ratanya tinggal masih dalam kawasan Seberang Perai/Pulau Pinang, jadi tak jauh pun dari rumah Tokwan dan Tok. Aku tidur awal sebab kepenatan. Sekolah masih bercuti, dan aku belum mula tugasan di kedai koperasi sekolah. Abah kembali bekerja esoknya.

Awal pagi, mak kejutkan aku dari tidur dengan tergesa-gesa. Kejutkan Subuh dan pesan jaga adik. Mak nak ke rumah Tokwan menaiki bas sebab Abah dah pergi bekerja. Kata mak;

"Tokwan jatuh dalam bilik air."

Aku dalam mamai cuma akur dengan arahan.

Tak lama lepas tu bila hari pun dah cerah, telefon rumah berbunyi. Aku dengar suara mak macam menangis. Kata mak;

"Tokwan dah tak ada. Siap mandi semua, kejap lagi Abah ambik di rumah bawak ke rumah Tokwan."

Aku terkedu, tak terkata apa. Baru semalam ramai-ramai melepak dengan Tokwan di rumah. Aku termenung sekejap sementara nak bersiap.

Abah balik untuk membawa kami ke rumah Tokwan. Sampai ke sana jenazah dah dibawa pulang dari hospital. Baru berpeluang mendengar cerita lanjut kejadian pagi tadi.

Tokwan bangun pagi Subuh seperti biasa. Entah macamana Tokwan tergelincir di bilik air dan jatuh. Kepala Tokwan berdarah, tapi Tokwan masih kuat bangun dan memberi arahan kepada Tok untuk panggil Pak Ngah datang ke rumah. Pak Ngah yang majlis kahwin anaknya semalam, rumah tak jauh dari situ. Pak Ngah panggil ambulans ke rumah Tokwan. Bila Tokwan dibaringkan dalam ambulans, kata Pak Ngah Tokwan dah menghembuskan nafas terakhir. Innalillah...

Sampai masa pengkebumian, Pakcik dan Mak Andak belum sampai dari Kuala Lumpur. Pakcik bekerja di Kuala Lumpur, Mak Andak pula berkursus di sana. Keduanya tak pulang semalam untuk majlis kahwin sepupu. Jadi pengkebumian diteruskan tanpa mereka. Mereka sampai di saat akhir sebelum jenazah dimasukkan ke liang lahat. Sempat juga menatap wajah Tokwan untuk kali terakhir. Kata Paklang (juga dari KL) mereka memecut selaju mampu sehingga ditahan polis. Tak ingat samada mereka dilepaskan atau disaman juga.

Minggu berikutnya, aku memulakan tugasan di kedai koperasi sekolah untuk persediaan sesi persekolahan tahun hadapannya. Operasi biasa menjual buku dan alat tulis. Minggu itu juga keputusan PMR aku akan diumumkan. Hari keputusan aku bertugas seperti hari-hari lain. Aku biarkan kawan-kawan lain mengambil keputusan. Maka aku antara orang yang paling lewat menerima keputusan PMR.

Aku cucu yang paling kerap meluangkan masa di rumah Tokwan dan Tok. Aku memang rapat dengan Tok. Tokwan tak banyak berbual. Aku tak ingat pernah berbual panjang dengan Tokwan.

Cerita mak pada aku, Tokwan memang jenis pendiam. Tapi dia selalu tahu cerita tentang pencapaian aku dari kawan-kawannya yang tinggal di kawasan kami. Dari sekolah rendah, pencapaian aku sentiasa tertinggi. Bila setiap tahun aku naik ke pentas, itu jadi kebanggaan kepada Tokwan bila kawannya menyampaikan. Walaupun aku tak pernah dengar dia sendiri menyebutnya kepada aku.

Doaku supaya arwah Tokwan dan Tok ditempatkan di kalangan hambaNya yang beriman dan beramal soleh. Inshaa Allah jumpa lagi kita nanti Tokwan dan Tok.

Juga didoakan semua sanak saudara dan umat Islam seluruhnya ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang beriman dan beramal soleh. Amin...