Thursday, February 06, 2014

Parenting Today

Ada orang kata, ibu bapa sekarang lebih prihatin/"concern". Setiap perkembangan tumbesaran anak perlu di"monitor". Buku klinik pun dah ada garis panduan apa perkembangan anak pada setiap bulan. Bila anak itu "sepatutnya" merangkak, berjalan, mendengar arahan, bercakap dan sebagainya. Ibu bapa dulu rata-rata mana "peduli" itu semua. Mereka biarkan tumbesaran anak berlaku secara alami.

Ibu bapa dulu pakaikan anak dengan lampin kain. Bila buang air, disalin baru, dibasuh dan dijemur yang kotor untuk diguna semula. Kalau lambat disalin kesian melecet pula kulit si anak. Anak-anak sekarang dipakaikan lampin pakai buang. Bila buang air boleh tahan lagi beberapa jam. Bila dah penuh, baru dibuang. Nanti pakai yang baru pula ye sayang. Tak perlu nak basuh.

Barang permainan macam-macam jenis ada. Mestilah pilih yang baik untuk perkembangan fizikal dan minda. Selagi mampu mesti disedia. Tak nak nanti terlepas katanya. Mahu anak membesar ceria.

Ibu bapa dulu hantar anak ke tadika/taska umur 6 tahun. Ibu bapa sekarang mesti lebih maju. Seawal 3 atau 4 tahun anak dah ke tadika/taska. Ibu bapa dulu tak banyak pilihan, hantar ke tadika paling dekat dengan rumah. Sekarang berbagai pilihan ada, mestilah nak pilih yang terbaik dan terhebat untuk anak kesayangan. Mana boleh setakat bermain bersama-sama kawan. Selain belajar mengaji tulis baca mengira, masukkan sekali bahasa kedua ketiga. Ada masa belajar muzik dan komputer.

Masuk sekolah nanti, pagi petang belajar ye sayang. Kalau pagi sekolah biasa, petang nanti sekolah KAFA. Kalau petang sekolah biasa, pagi pergi sekolah KAFA. Alhamdulillah terdidik dengan panduan agama. Malam pula pergi kelas tambahan. Jangan risau ibu bapa carikan, yang terbaik dalam pasaran. Nak belajar di rumah, ibu bapa tak cukup masa nak ajarkan.

Kalau boleh tinggal di asrama, tak perlu duduk di rumah sentiasa. Boleh belajar berdikari, semua perkara diurus sendiri. Jangan risau, ibu bapa melawat selalu. Nantikan saja hujung minggu.

Cuti sekolah kita jalan-jalan. Kita pilih yang paling meriangkan. Kita ke pantai, pulau, gunung, seberang laut, kalau dapat boleh saja ke bulan. Kalau nak kita ajak sama tok dan tokwan. Balik kampung boleh masa cuti hari kebesaran.

..........

Lebih "concern" atau lebih "kiasu" sebenarnya kita?

Sebelum kata ibu bapa sekarang lebih prihatin tentang perkembangan anak-anak, cuba lihat di mana diri kita sekarang. Hari ini kita jurutera, doktor, akauntan, peniaga, peguam, tokoh korporat, pentadbir, guru pakar.

Rata-ratanya hasil didikan ibu bapa yang lebih masa bersama, mainannya tak seberapa, garangnya macam singa, tapi sayangnya tak dapat diletakkan harga.

Alhamdulillah...

Nota kaki:
Jangan ada yang terasa. Tulisan ini sekadar untuk menghibur dan mengingatkan diri sendiri. Kalau ada yang terbaca, anggap saja sekadar seloka. 

No comments: