Tuesday, February 11, 2014

Papa di Mata Afif

Bismillah...

Papa = ???

Petang semalam anak sulung saya Afif buat saya sedar apa pandangan seorang anak kepada ayahnya.

Seperti biasa selepas habis kerja menjemput anak-anak di rumah pengasuh. Tiba di rumah pengasuh saya tak dapat berhentikan kereta di depan rumah kerana lori "uncle" jiran pengasuh ada di situ. Selepas menunggu seketika, akhirnya "uncle" dengan agak kaget memaklumkan lorinya tak dapat dihidupkan, sedangkan sebentar tadi dia dapat keluarkan dari anjung rumah.

Jadi saya keluar dari kereta dan jemput anak-anak dulu dibawa masuk ke kereta. Afif seperti biasa takkan diam saja kalau ternampak sesuatu. Bertubi-tubilah soalan tentang lori "uncle" itu. Bertubi-tubilah juga jawapan yang perlu saya berikan.

Selepas bercakap di telefon dengan rakan atau mekanik mungkin, "uncle" minta pertolongan dari saya. Dia dapatkan tali dan minta saya tarik lorinya dengan kereta saya, dengan harapan dapat hidupkan enjin lori itu. Anak-anak sudah di dalam kereta. Sudah diikat kemas, saya masuk ke dalam kereta dan mula bergerak sambil menarik lori itu. Afif tak henti-henti bertanya macam-macam soalan.

"Papa, kenapa dengan lori tu? Lori tu rosak ke?"

"Papa, lori tu tak boleh hidupkan ke?"

"Papa kena panggil kawan Papa ke?"

"Papa baikilah. Kan hari tu Papa boleh baiki kereta Atuk?"

Setelah berusaha menarik lori itu, masih tak berjaya hidupkan. "Uncle" buat keputusan ke kedai berdekatan memanggil mekanik. Jadi kami menolak lori ke tepi jalan untuk tidak mengganggu laluan.

Bila sudah bersedia untuk teruskan perjalanan pulang, Afif bertanya lagi;

"Papa tak berjaya hidupkan lori tu? Papa cubalah baiki lagi. Dulu kereta Atuk Papa dapat hidupkan."

Masa itulah saya tersedar dan teringat kembali.

..........

Papa/Ayah/Abah/Bapa/Walid sekalian...

Anak anda lihat anda sebagai seorang wira. Baginya, tiada apa yang tidak boleh Papa selesaikan. Papa adalah seorang yang dikaguminya. Papa adalah sanjungannya.

Kami juga anak-anak dahulu. Begitulah juga pandangan kami kepada Abah.

Demi Allah dan Rasul, saya tidak mahu hilang kepercayaan itu dari anak saya.

Inshaa Allah...

No comments: